ad
AGENDA

Pekerja ladang maut ditetak ketika minum bersama rakan

13 Jul 2024, 3:23 PM
Pekerja ladang maut ditetak ketika minum bersama rakan

SANDAKAN, 13 JULAI: Pekerja ladang warga asing ditemukan maut dipercayai dibunuh di belakang rumah kongsi pekerja ladang sawit di Segaliud di sini Khamis lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan Supt K Ramasamy berkata mayat lelaki berusia 43 tahun itu dijumpai pada 6 pagi oleh pekerja ladang dan pemeriksaan menemukan kesan tetak pada bahagian belakang kepala serta leher.

"Berdasarkan siasatan awal, mangsa dari ladang bersebelahan datang ke rumah kongsi rakannya pada Rabu malam untuk minum. Semasa minum bersama rakan-rakan, mangsa dipercayai ditetak oleh seorang daripada rakannya itu.

"Sejurus kejadian berlaku, suspek yang juga seorang lelaki warga asing telah melarikan diri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ramasamy berkata kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek giat dijalankan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.