ad

Speaker umum tidak berlaku kekosongan kerusi enam bekas ahli parlimen Bersatu

11 Jul 2024, 11:38 AM
Speaker umum tidak berlaku kekosongan kerusi enam bekas ahli parlimen Bersatu

SHAH ALAM, 11 JULAI: Speaker Dewan Rakyat secara rasmi mengisytiharkan tidak berlaku kekosongan kerusi disandang enam bekas wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bersatu (Bersatu).

Kenyataan Tan Sri Johari Abdul dibuat selepas beberapa ahli parlimen pembangkang membangkitkan keputusan berkenaan mengikut Peraturan Mesyuarat 99 di Parlimen, hari ini.

"Saya bukan posmen, bila saya terima apa yang telah diberi pada saya, seperti disebut Beluran (Datuk Seri Ronald Kiandee), saya pasti, saya kaji semua, saya baca semua kenyataan mengenai Perkara 49 (Perlembagaan Persekutuan).

“Maka saya mengambil keputusan, keputusan kekal seperti yang dimaklumkan kepada Beluran bahawa kekosongan tidak berlaku," katanya.

Terdahulu, Ronald yang juga Ketua Whip Bersatu bangun mencelah dan mempersoal keputusan Johari ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024.

Tindakan itu menyebabkan beberapa lagi ahli parlimen pembangkang bangun dan mempertikai perkara sama selain mendesak Johari memberi penjelasan sebenar mengikut peruntukan perlembagaan.

Kemuncak provokasi berlaku apabila semua wakil rakyat pembangkang diketuai Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainudin mengambil keputusan keluar Dewan tanpa menunggu penjelasan Johari.

Semalam, Johari dilapor menghantar surat rasmi kepada Bersatu memaklumkan enam bekas Ahli Parlimen parti itu, yang mengisytiharkan sokongan kepada perdana menteri, kekal sebagai wakil rakyat.

Enam ahli parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), dan Zahari Kechik (Jeli).

Selain itu, Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.