SHAH ALAM, 11 JULAI: Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) memutuskan kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) Selat Klang tidak perlu dikosongkan.
Lau Weng San berkata pemberhentian keahlian Datuk Abdul Rashid Asari dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didapati sebagai pemecatan terancang di bawah operasi Perkara 65A(2)(c) Perlembagaan Negeri Selangor.
[caption id="attachment_651844" align="alignleft" width="402"] Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) Lau Weng San menangguhkan sidang DNS di Bangunan Annex, Shah Alam pada 11 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIASELANGOR[/caption]
"Notis dan bukti dari Yang Berhormat Hulu Kelang tidak memenuhi beban pembuktian yang diperlukan untuk membuktikan yang sebaliknya.
"Terdapat satu rangkapan Rule of Equity yang berbunyi "Those who seek equity must come with clean hand and do equity". Intihanya, selamat untuk disimpulkan atas skala pertimbangan kebarangkalian atau 'balance of probability', bahawa tiada bukti yang mencukupi untuk mengesahkan berlakunya kekosongan luar jangka.
"Dengan ini saya mengisytiharkan bahawa kerusi Selat Kelang tidak dikosongkan," katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Bersatu Selangor Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyerahkan notis pengosongan kerusi DUN Selat Klang berikutan Abdul Rashid menyatakan sokongan kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Abdul Rashid kemudian digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.
Pada 26 Jun, Abdul Rashid menyatakan beliau akan tetap hadir seperti biasa ke DNS dan menjangka keputusan statusnya akan dibuat dalam persidangan berkenaan.