ad
EXCO

EXCO: Ibu bekerja diseru mohon insentif RM1,000, tampung belanja anak

11 Jul 2024, 9:18 AM
EXCO: Ibu bekerja diseru mohon insentif RM1,000, tampung belanja anak

SHAH ALAM, 11 JULAI: Permohonan insentif MamaKerja berjumlah RM1,000 khusus bagi golongan ibu bekerja di Selangor masih dibuka bagi memenuhi sasaran 5,000 penerima.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata setakat Mei, seramai 4,042 ibu bekerja menerima bantuan yang bertujuan meringankan beban menampung kos penjagaan anak selain galakan wanita kekal dalam sektor pekerjaan.

"Sebelum ini, insentif MamaKerja menerima sejumlah 6,094 permohonan. Seramai 4,042 berjaya menerima bantuan tunai yang disalur secara terus ke akaun bank masing-masing manakala 2,052 permohonan ditolak kerana tidak memenuhi syarat kelayakan.

"Terdapat lebih 900 lagi kekosongan yang boleh dimohon bermula hari ini (11 Julai 2024). Permohonan secara siapa cepat dia dapat. Kita mengalu-alukan ibu bekerja untuk memohon insentif ini," katanya pada sidang media hari ini.

Permohonan boleh dibuat menerusi aplikasi SELangkah atau laman sesawang mamakerja.selangkah.my. Sebarang maklumat boleh diajukan ke talian hotline Selcare 1-800-22-6600 atau melalui emel [email protected].

Melibatkan peruntukan RM5 juta, skim tersebut memanfaatkan 5,000 wanita bekerja yang memiliki tiga anak bawah 12 tahun dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM8,000.

Syarat kelayakan lain seperti berikut:

  • Wanita bekerja dan bermajikan
  • Rakyat Selangor (lahir di Selangor atau bermastautin di Selangor melebihi 10 tahun)
  • Mengundi di Selangor
  • Berpendapatan isi rumah RM8,000 ke bawah
  • Individu yang mempunyai akaun Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
  • Bukan penerima bantuan Asuh Pintar, Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) dan Tunas

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.