ad
AGENDA

MB: Selangor bantu 500 pekerja Goodyear terkesan cari kerja baharu

11 Jul 2024, 4:52 AM
MB: Selangor bantu 500 pekerja Goodyear terkesan cari kerja baharu
MB: Selangor bantu 500 pekerja Goodyear terkesan cari kerja baharu

SHAH ALAM, 11 JULAI: Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor untuk membantu 500 pekerja kilang syarikat pengeluar tayar Goodyear mencari pekerjaan baharu, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia telah mengadakan tindakan intervensi melalui sesi perjumpaan dengan wakil GoodYear pada 26 Mac lalu untuk membincangkan soal kebajikan pekerja terjejas susulan penutupan kilang itu.

“Beberapa inisiatif dan pendekatan dibincangkan dan dipersetujui iaitu menyediakan peluang pekerjaan secara temu duga fizikal melibatkan 22 syarikat tempatan dari pelbagai industri di kilang GoodYear dari 22 hingga 26 April lepas.

“Kerajaan Negeri juga mengalukan penyertaan pekerja yang terkesan ini untuk menghadiri program temu duga kerjaya dalam jelajah Job Care Selangor anjuran Kerajaan Negeri dan Perkeso Selangor.

[caption id="attachment_525518" align="aligncenter" width="1017"] Peserta menghadiri temu duga program Jelajah Jobcare Selangor di Dewan Taman Gemilang Dengkil, Sepang pada 14 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]

“Pekerja yang berminat menyertai perkhidmatan penghantaran dan pengkhususan ekonomi gig menggunakan pacuan dua roda ditawarkan memohon bantuan program BikeCare-1000. Program ini memberi sumbangan wang pendahuluan RM1,000 untuk membeli motosikal,” katanya dalam Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri turut bercadang mengoptimumkan penggunaan tanah operasi kilang pembuatan Goodyear di Seksyen 15, Shah Alam.

“Kilang Goodyear ini merupakan hak milik mereka berbentuk ‘lease-hold’ yang tamat pada 2078.

“Saya telah mengarahkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melihat untuk optimum penggunaan tanah kilang ini. Menjelang 2025 hingga 2026 beberapa lokaliti seperti Petaling Jaya hingga Shah Alam mengalami tempoh matang terutama di kawasan industri.

“Kerajaan Negeri perlu mengurus kawasan perindustrian dan perkilangan dengan baik seiring teknologi terkini dan keperluan sektor perkilangan yang sudah memasuki sektor Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4.0),” jelasnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.