SHAH ALAM, 8 JULAI: Kegagalan mengetengah pencapaian ekonomi bawah Kerajaan Madani menjadi antara faktor kekalahan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Muhamad Hisomuddin Bakar berkata isu nasional turut mendominasi sepanjang kempen yang mempengaruhi sentimen pengundi.
“Sepanjang kempen, isu Blackrock, penyasaran subsidi diesel, kuota matrikulasi dan sudah tentu kos sara hidup banyak mempengaruhi pengundi rentas kaum serta parti.
“Penerangan jentera parti HARAPAN dengan Barisan Nasional (BN) mahupun kerajaan kelihatan lemah dan tidak berkesan untuk menepis sentimen yang dibawa pembangkang.
“Setiap isu gagal disampaikan sampai ke dasar lubuk hati pengundi walaupun HARAPAN meletakkan calon berwibawa jika dibandingkan dengan calon lawan,” katanya kepada Selangorkini.
[caption id="attachment_648934" align="alignnone" width="848"] Calon Pakatan Harapan Dr Joohari Ariffin ketika mengemukakan borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Pusat Penamaan Calon Dewan Serbaguna Sungai Jawi, Nibong Tebal pada 22 Jun 2024. Foto BERNAMA[/caption]
Hisomuddin berkata HARAPAN yang menerajui Kerajaan Perpaduan perlu memperkemaskan sistem penyampaian dan komunikasi supaya isu berkait polisi nasional dibekalkan penerangan yang jelas kepada rakyat.
“Elemen media perlu efektif. Jika isu masih berbangkit, ‘counter narrative’ perlu dimatikan segera.
“Bagi pengundi bukan Melayu, penilaian pemulihan ekonomi negara menjadi nilai ukur mereka. Dalam masa ini, pencapaian negara perlu diketengahkan secara objektif.
"Pada fasa pemulihan negara, memakan masa dan ianya perlu disampaikan dengan berkesan kepada kumpulan ini,” katanya.
Hisomudin juga melihat gabungan HARAPAN-BN perlu mempergiatkan usaha meraih semula sokongan pengundi Melayu pada pilihan raya kelak.
“Mengurus sokongan mengikut etnik juga penting. Cabaran paling besar ialah kepada pengundi Melayu. Trend sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) nampaknya masih kekal.
“Ini memerlukan pelan strategik untuk meyakinkan segmen ini dalam masa berbaki sebelum pilihan raya umum akan datang,” jelasnya.
Sabtu lalu, PN berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap selepas calonnya Abidin Ismail menang dalam PRK tersebut dengan majoriti 4,267 undi.
Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal itu memperoleh 14,489 undi sekali gus menewaskan Dr Joohari Ariffin yang meraih 10,222 undi.