SHAH ALAM, 8 JULAI: Hujan lebat tidak menghalang kira-kira 80,000 umat Islam berhimpun di program Malam Ehsan Untuk Insan di Dataran Karnival, pekarangan Stadium Shah Alam di sini, malam tadi.
Rata-rata pengunjung tidak berganjak dan sanggup basah kuyup demi mendengar ceramah pendakwah terkenal Indonesia, Ustaz Abdul Somad Batubara sempena sambutan Maal Hijrah 2024/1446.
[caption id="attachment_651219" align="alignnone" width="850"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari (kiri) bersama pendakwah Indonesia, Ustaz Abdul Somad (tengah) memegang palakat #Gaza Bangkit dan Ketua Aktivis Kemanusian Mapim, Dr Sani Araby (kanan) ketika program Malam Ehsan Untuk Insan sempena sambutan Maal Hijrah 1446H di Dataran Karnival, perkarangan Stadium Shah Alam pada 7 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Program anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dimulakan dengan persembahan kumpulan Rabbani, selawat dan qasidah selepas waktu Maghrib.
Ustaz Abdul Somad menyampaikan ceramah berkisar semangat Palestin sebelum menutup majlis ilmunya dengan memimpin bacaan doa bagi mendoakan kesejahteraan negeri dan khususnya umat Islam di Gaza.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam ucapan ringkasnya berkata program dengan kerjasama Kerajaan Negeri dianjur bagi memupuk kesedaran terhadap penderitaan penduduk Palestin.
[caption id="attachment_651220" align="alignnone" width="788"] Hujan lebat tidak menghalang puluhan ribu hadirin mendengar ceramah disampaikan pendakwah Indonesia, Ustaz Abdul Somad ketika program Malam Ehsan Untuk Insan sempena sambutan Maal Hijrah 1446H di Dataran Karnival, perkarangan Stadium Shah Alam pada 7 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Sudah pasti program ini merupakan sebahagian dari rencana dan harapan kita supaya kita mempunyai kesedaran dan hati kita mempunyai pautan dengan umat Islam di Gaza dan seluruh dunia.
“Kita mahu membangunkan negeri dengan nilai dan ciri-ciri yang prihatin antara satu sama lain supaya wujud rasa rahmah. Semoga kasih sayang itu kekal dalam jiwa kita,” katanya.
Program dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Mapim, Sani Araby Al-Kahery turut dimeriahkan dengan pelbagai gerai jualan makanan dan barangan cenderahati solidariti kepada Palestin.