ad
BERITA UTAMA

Fenomena istiwa a’dzam peluang umat semak arah tepat Kaabah

7 Jul 2024, 12:00 PM
Fenomena istiwa a’dzam peluang umat semak arah tepat Kaabah

“Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haram (Kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya.” – ayat 150 surah al-Baqarah.

Firman Allah berkenaan jelas menyebut perintah bersembahyang menghadap kiblat yang menghala ke arah Kaabah di Masjidil Haram, Makkah.

Atas perintah itu juga, pelbagai cara dilakukan oleh muslim untuk menentukan arah kiblat supaya menepati syarat sah ibadah solat.

Pada zaman dahulu umat Islam di negara ini menjadikan buruj dan bintang tertentu sebagai penentu arah kiblat. Garisan buruj dan bintang sebaris menghala hampir ke arah barat laut menjadi panduan kiblat.

Seiring dengan perkembangan ilmu geografi dan astronomi, kini penentuan arah kiblat lebih mudah dilakukan oleh semua muslim, antaranya menerusi fenomena istiwa a’dzam.

Fenomena merujuk kepada kejadian unik yang berlaku dua kali setahun apabila lintasan matahari pada kedudukan tepat 90 darjah atas Kaabah.

Timbalan Mufti Selangor Dato’ Prof Madya Dr Miszairi Sitiris berkata kedudukan istiwa berlaku pada 28 Mei (jam 5.16 petang) dan 16 Julai (jam 5.28 petang) pada tahun-tahun biasa dan pada 27 Mei dan 15 Julai pada tahun-tahun lompat.

“Detik istimewa tersebut amat ditunggu-tunggu masyarakat Islam seluruh dunia terutama di kawasan bumi yang berada dalam zon waktu siang untuk menyemak lokasi tepat kiblat,” katanya.

Apabila istiwa utama matahari berlaku, bayang-bayang objek tegak di tempat lain akan menunjukkan arah ke Kaabah.

Fenomena berkenaan sebahagian kaedah tradisional falak untuk menyemak dan menentukan arah kiblat walau di mana sahaja pada tarikh tersebut.

Selain istiwa a’dzam, umat Islam juga boleh menggunakan kompas, kaedah lintasan matahari searah kiblat, kaedah matahari terbit dan terbenam, selain kaedah buruj dan bintang yang diamalkan umat Islam dahulu.

Namun, mereka perlu mengetahui nilai azimut (arah mengufuk suatu titik di langit dari suatu titik di bumi) iaitu antara 291 hingga 293 darjah berdasarkan lokasi.

Dr Miszairi menegaskan, umat Islam perlu sentiasa menyemak arah kiblat yang betul supaya solat menjadi sah.

Kiblat tersasar

Ia susulan laporan media pada 24 April tahun lalu menyebut, Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor mendapati 40 peratus daripada 5,000 kediaman umat Islam diperiksa sekitar Lembah Klang, tersasar daripada kedudukan kiblat yang tepat.

Ada antara tempat atau ruang solat di sesebuah kediaman itu tersasar sehingga 180 darjah daripada kedudukan sebenar.

Situasi itu dikesan selepas persatuan berkenaan memeriksa lebih 20,000 kediaman dan premis untuk ditentusahkan arah kiblat masing-masing.

Dr Miszairi menjelaskan, menyemak kiblat rumah secara tepat hanya perlu dilakukan sekali sahaja. Justeru fenomena istiwa a’dzam kaedah paling mudah dilakukan semua orang.

“Namun, terdapat ramai orang yang tidak berpeluang menyemak kiblat rumah ini disebabkan kekangan kerja, cuaca semasa dan sebagainya.

“Justeru itu, Jabatan Mufti Selangor melancarkan kempen Jom Semak Kiblat sepanjang tahun lebih-lebih lagi bagi mereka yang baharu membeli rumah kediaman yang baharu,” katanya.

Berdasarkan sejarah Islam, sebelum umat Islam bersujud menghala ke Kaabah pada hari ini, Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis menjadi kiblat pertama umat Islam selama 16 bulan sejak Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah.

Bagaimananapun, pada 17 Rejab tahun kedua hijrah, turun wahyu Allah memerintah kiblat bertukar ke Kaabah di Masjidil Haram.

Perintah itu disebut pada ayat 144 surah al-Baqarah ketika Rasulullah bersembahyang Asar berjemaah di Masjid Qiblatain, menyebabkan baginda serta-merta mengalihkan tubuh ke arah Makkah diikuti sahabat.

Cara semak arah kiblat mengikut Istiwa A’dzam

  • pastikan kayu yang digunakan adalah tegak 90 darjah di atas permukaan yang rata
  • pastikan bayang-bayang kayu tersebut jelas kelihatan di atas permukaan yang rata tadi
  • pastikan matahari mudah dilihat dan tidak terlindung di kawasan tersebut. Dari hujung bayang ke kayu itulah arah kiblatnya

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.