ad
AGENDA

PRK Sungai Bakap: Sembilan pusat mengundi dibuka libat 65 saluran

6 Jul 2024, 12:41 AM
PRK Sungai Bakap: Sembilan pusat mengundi dibuka libat 65 saluran

NIBONG TEBAL, 6 JULAI: Sembilan pusat pengundian melibatkan 65 tempat mengundi atau saluran bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dibuka serentak pada 8 pagi ini.

Pusat pengundian tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Boon Beng, SMK Bandar Tasek Mutiara, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasek, SK Sungai Duri, SMK Tun Syed Sheh Barakbah, SK Sungai Bakap, SK Jawi dan SK Sungai Kechil.

Kesemua pusat mengundi berkenaan akan ditutup pada 6 petang ini, sebelum proses penjumlahan undi berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di sini.

Proses pengundian hari ini melibatkan 39,151 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab bagi memilih wakil rakyat baharu kawasan itu.

Pada PRK kali ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menugaskan 552 petugas, sementara 800 pegawai dan anggota polis bertugas mengawal keselamatan dan menjaga ketenteraman awam bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Hanya Abidin akan mengundi hari ini di Sekolah Kebangsaan Sungai Duri memandangkan Joohari merupakan pengundi di DUN Sungai Acheh, iaitu satu daripada tiga DUN dalam Parlimen Nibong Tebal selain Sungai Bakap dan Jawi.

Secara keseluruhan 39,279 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 57 anggota polis.

Bagaimanapun, PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan tiada pusat mengundi awal dibuka walaupun tarikhnya ditetapkan pada 2 Julai lalu, selepas SPR mengeluarkan 128 kertas undi kepada yang berhak mengundi secara pos.

Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lalu Nor Zamri, yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.