Oleh Sarah Ross
GEMPAR! Berita aneh dan misteri itu kembali mengisi dada-dada akhbar, media sosial, corong-corong radio dan semua siaran televisyen.
"Tak ada berita lain ke?" soal pak yang duduk di sebelah. Bukan merungut, tetapi pak penggemar isu semasa. Setiap hari pak menerima langganan akhbar berbahasa Melayu dan Inggeris, semata-mata memenuhi cangkir minatnya mengambil tahu hal-hal semasa negara. Dalam soal ini, aku sering ketinggalan apabila sesuatu hal diutarakan pak secara terbuka sesama ahli keluarga.
"Kau ni kak, memang ketinggalan kereta api!"
Sering aku diremehkan begitu lantaran sikapku yang tidak mengambil pusing hal sekeliling, hinggakan jiran di depan rumah yang sudah lama bertukar kereta pun aku tidak perasan, apatah lagi hal-hal luar.
Seakan aku telah mencipta satu glob dunia sendiri yang asing dan aku terus tumbuh di dalamnya saban hari. Berulang kerja dan istirahat menjadi rutin paling penting.
‘Bukankah baik untukku daripada serabut memikirkan hal orang lain?’
"Bila adik nak kahwin? Takkan tak teringin nak ada keluarga sendiri?” Satu pertanyaan yang sering aku hindari.
“Penting ke ada keluarga? Bagaimana kalau adik memilih untuk membujang? Adik bahagia begini.”
“Berkahwin itu melengkapkan sebahagian iman,” sampuk pak, diiringi dengan keluhan.
Aku tahu, pak sudah malas hendak membangkitkan hal itu. Lebih-lebih lagi aku sering beralasan mahu menjaga pak hingga ke akhir hayatnya, atau ajalku yang dahulu tiba.
“Berita apa yang pak rungutkan sangat tu? Memanglah semua akhbar papar berita sama, kalau berita tu viral.”
“Pasal budak hilang tiba-tiba tu lah. Kali ni, orang tua pula. Dah seminggu tak jumpa juga. Isy, tak masuk akallah!”
“Apa maksud pak?” Tiba-tiba aku menekan hon panjang apabila sebuah motosikal yang keluar melulu dari simpang, meluncur ke laluanku.
“Ini lagi tak masuk akal! Tak takut mati agaknya,” bebelku.
“Orang tua tu tak boleh berjalan. Terlantar di katil hospital, pakai tabung oksigen. Takkan dia boleh lari pula?”
“Tak ada rakaman cctv di hospital tu?” tiba-tiba pula aku mahu mengambil berat.
“Ada. Tapi tak nampak kelibatnya. Takkan ghaib? Pelik sungguh!”
“Maksud pak, dilarikan hantu?”
“Mana logiknya?”
“Tak payah fikirlah, pak. Serabutkan otak saja.”
“Kesian orang tua ni. Dua hari sebelum hilang tu, jiran yang buat laporan pada polis, dia didera anaknya. Lalu dibawa ke hospital selepas diselamatkan.”
“Jahatnya anak dia! Untung pak, Meera jaga pak elok.”
Pak tersenyum. “Yelah, kamu memang anak solehah.” Pak terus menceritakan kisah-kisah misteri sebelumnya. Sama. Semua orang yang hilang secara tiba-tiba itu, pernah mendapat liputan media sebelum mereka hilang.
Malam itu dengan izin pak, aku keluar sebentar untuk membeli Panadol di kedai berhampiran rumah. Entah mengapa, kedai ditutup lebih awal, terpaksa aku ke kedai yang lebih jauh.
Puas aku menderap, tetapi tidak ada pula kedai runcit yang kebiasaanya buka. Kebiasaannya, ada. Tayar kereta meluncur pula ke jalan seberang sebaik aku melihat lampu daripada sebuah papan tanda bertulis Kedai Kasih Sayang.
Agak pelik nama kedainya, tapi yang kupedulikan adalah sepapan Panadol untuk menghilang denyut yang kian rancak di kepala. Mungkin siang tadi cuaca terlalu panas, membawa pak bersiar-siar, kerana tidak tahan mendengar rungutannya. Tentang berita gempar yang membuatnya pening berfikir, sehingga dia perlukan udara lebih segar di luar.
Pak bukan lagi muda. Usia pak sedang memanjat angka tujuh puluh. Syukur pak masih sihat tanpa sebarang penyakit. Cuma kudratnya tidaklah gagah seperti dahulu, begitu juga penglihatan pak. Sama sekali aku tidak membenarkan pak memandu kereta sendirian. Biarlah aku sendiri yang mengusung ke mana pak mahu pergi.
“Ada jual panadol?” aku bertanya, meski tidak melihat apa-apa barang keperluan di dalam kedai kecuali deretan keratan akhbar yang disepit pada tali.
“Tak baca papan tanda kedai?” soal seorang wanita yang kuanggar di pertengahan usia.
“Er, tak apalah.” Aku berpaling dan menarik pintu. Malangnya pintu itu terkunci. Dadaku diserbu kebimbangan. Kedai yang suram dan aneh, tidak menjual apa-apa keperluan. Fikiran buruk menjalari minda.
‘Entah-entah, ini kedai pemerdagangan orang!’
Wajah, tangan dan seluruh tubuhku memucat. Aku tidak berani hendak berpaling kepada wanita tadi. Mataku meliar ke arah keratan akhbar yang bergantungan di sekeliling kedai.
‘Eh, bukankah itu berita yang ditunjukkan pak pagi tadi?’ Aku memberanikan diri untuk melihat lebih dekat.
‘Ya, benar telahanku.’
“Kau mahu membelinya?” tiba-tiba wanita itu bersuara.
Setelah mengira-ngira, aku berpaling jua padanya.
“Membeli apa? Puan mahu menjual keratan akhbar itu?”
Dia menggeleng. “Aku mahu menjual orangnya.”
“Apa maksud puan?”
‘Dia kurang siuman agaknya. Macam mana nak pujuk dia lepaskan aku?’
“Ya, aku mahu menjual orang tua itu. Tetapi, harganya terlalu mahal. Kau mampu?”
“Bagaimana jika saya menolaknya? Saya hanya mahukan sepapan Panadol, dan saya tersilap masuk ke sini. Boleh puan benarkan saya keluar?”
“Tidak. Kau tidak boleh keluar sebelum membeli apa-apa.”
“Kata puan, harganya terlalu mahal. Tentu saya tidak mampu.”
“Kau belum pun bertanya harganya.”
‘Ah, dia bermain psikologi pula!’
“Baiklah, berapa harga orang tua itu? Jika saya membayarnya, apa pulangan yang saya dapat?”
“Kau dapat orangnya, kan sudah kukatakan tadi?” Nadanya sedikit marah dan kesal.
“Baiklah, baiklah. Berapa pula harganya?”
“Harganya adalah kasih sayang.”
“Kasih sayang? Bagaimana saya mahu membayar dengan kasih sayang?”
Wanita itu menghilang di belakang sebelum kembali beberapa minit kemudian. “Ini pembelianmu tadi. Bayarlah dengan kasih sayang untuknya. Kasihan, dia tidak mendapatkan itu daripada anaknya sendiri.”
Mataku terbuntang memandang seorang perempuan tua yang persis orang hilang dalam berita tadi pagi. Malah, dia kelihatan sihat dan boleh berjalan. Kepalaku bertambah sakit. Denyutnya makin mencengkam.
“Meera, bangun. Tak baik tidur waktu Maghrib. Dah, bangkit pergi solat.”
Aku bingkas duduk dalam kebingungan. Pandanganku meliar mencari-cari di mana wanita tua yang kulihat tadi.