SHAH ALAM, 5 JULAI: Bunyi wisel, tiupan trompet dan sorakan 'gol' antara kenangan manis bagi bekas pelajar Fakulti Seni Persembahan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam yang mengikuti kuliah di dalam stadium Shah Alam antara 2003 hingga 2005 lalu.
Cerita Azharul Azmir Kamarulzaman, 39, suasana itu berlaku apabila jadual kuliah bertembung dengan perlawanan bola sepak memandangkan bilik kuliah mereka terletak di bawah kawasan tempat duduk penonton stadium.
“Memang pensyarah akan elak kuliah semasa perlawanan, tetapi adakalanya memang mendesak. Jadi terpaksa juga buat kelas. Masa itu, berlawan-lawanlah suara pensyarah dengan bunyi jeritan dan sorakan. Selalunya suara ‘yang di luar’ itulah menang,” katanya kepada Selangorkini.
[caption id="attachment_650887" align="aligncenter" width="607"] Pelajar Fakulti Seni Persembahan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam pada sesi kuliah di Stadium Shah Alam sekitar 2004. Foto Azharul Azmir Kamarulzaman[/caption]
Mengimbau kenangan bersama Stadium Shah Alam yang kini dalam proses perobohan, Azharul Azmir mengakui terkejut apabila dikhabarkan perlu mengikuti kuliah dalam stadium malah hari pertama ke stadium ada di antara rakan yang sesat.
“Bila dikhabarkan bilik kuliah kami di Stadium Shah Alam, terpinga-pinga juga dibuatnya. Rasa pelik malah takut ditipu juga ada pada masa itu. Kita sudahlah datang jauh dari kampung, pertama kali berjauhan dengan keluarga sudah pasti membayangkan kehidupan dalam kampus.
“Rupa-rupanya memang benar-benar wujud bilik kuliah di bawah kawasan tempat duduk stadium. Suasananya sama saja seperti bilik kuliah biasa, cuma terasa siling agak rendah,” katanya yang kini berkerja dalam bidang perfileman.
Menurut beliau seperti di institusi pendidikan lain, di kawasan stadium juga lengkap kemudahannya untuk pelajar termasuklah medan selera dan ruang pelajar berkumpul.
[caption id="attachment_650891" align="aligncenter" width="610"] Pelajar Fakulti Seni Persembahan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam pada sesi kuliah di Stadium Shah Alam sekitar 2004. Foto Azharul Azmir Kamarulzaman[/caption]
“Tiada apa yang kurang, kami gembira belajar di sana, malah kini ia jadi kenangan manis dan abadi untuk kami simpan hingga akhir hayat,” katanya.
Tambah beliau kerja meroboh Stadium Shah Alam bermula 1 Julai lalu pasti menggamit memori buat semua yang pernah belajar di situ namun beliau optimis projek Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) bakal memberi limpahan kepada kawasan setempat.
“Sejak zaman kami belajar dulu pun kita nampak sudah banyak yang perlu ditambah baik. Daripada ia terbiar dan merosakkan pemandangan, kita sambut baik pembangunan semula ini untuk masa depan yang lebih baik,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memaklumkan pembangunan KSSA membabitkan tiga fasa dijangka siap sepenuhnya menjelang 2029.
Pengurus besar unit projek khasnya berkata fasa pertama membabitkan proses perobohan dan pembinaan semula Stadium Shah Alam dan dijangka selesai pada Disember 2026.
Datuk Ir Ruslan Abdul Aziz menjelaskan fasa kedua pula dijadual bermula pada Januari 2027 membabitkan teater tertutup, sayap sukan dan belia serta kawasan rekreasi.
Fasa terakhir untuk pembinaan terminal bersepadu dan hotel pula dijangka dimulakan antara Januari 2028 hingga Disember 2029.