SHAH ALAM, 5 JULAI: Kerajaan Selangor sedang mengkaji kadar pembayaran elaun atlet bagi menangani kes ahli sukan berpindah atau bermain dengan pasukan lain.
EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata pihaknya mengesan trend atlet dipancing negeri lain membabitkan sukan kategori individu dan berkumpulan seperti tenis, memanah dan bola sepak.
"Budaya atau trend 'pancing' bukan berlaku di Selangor sahaja tetapi negeri lain juga. Mereka akan melobi atau memujuk mewakili negeri masing-masing dengan menawarkan elaun lebih tinggi.
"Antara negeri yang berbelanja besar dan memperuntukkan belanjawan besar untuk atlet sukan ialah Sarawak, Sabah, Terengganu dan Johor. Namun, buat masa ini, pembayaran elaun atlet di Selangor masih munasabah.
"Bagaimanapun, untuk jangka panjang kita sedang menilai dan menyemak semula pembayaran kadar elaun atlet bagi memastikan mereka kekal bersama Selangor," katanya menjawab soalan wakil rakyat Kampung Tunku Lim Yi Wei di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Tambah Mohd Najwan, pihaknya mengakui kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) yang bakal berlangsung di Sarawak Ogos depan juga berdepan situasi dipancing.
"Kontinjen Selangor berdepan dengan masalah sama namun dapat ditangani dengan baik menerusi rundingan dan kaedah lain bagi memastikan atlet kekal mewakili negeri," ujarnya.
Mohd Najwan turut memaklumkan Kerajaan Negeri bersedia membina sebuah gelanggang kabaddi bagi merancakkan lagi sukan tersebut.
"Sukan kabaddi kini semakin berkembang di Malaysia dan tersenarai dalam SUKMA. Kita akui memang kekurangan kemudahan gelanggang dan terpaksa menyewa di premis lain.
"Oleh itu, kita sedia membina sebuah gelanggang dan bekerjasama dengan persatuan sukan kabaddi. Sekiranya ada tapak dan tanah yang sesuai maklumkan dan kita akan kenal pasti (lokasi) untuk bina gelanggang yang selesa," katanya menjawab soalan tambahan wakil rakyat Sentosa G Gunaraj.