SHAH ALAM, 5 JULAI: Tiga projek di bawah Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) telah selesai dan mula beroperasi, kata EXCO kemajuan desa dan luar bandar.
Datuk Rizam Ismail berkata tiga projek terbabit Pusat Konservasi Kelip-Kelip Sungai Panjang, projek ekopelancongan Ban Canal dan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Sabak Bernam
"Projek-projek di bawah SABDA adalah projek jangka masa panjang dan dijangka mengambil masa lima tahun, namun daripada segi kemajuan projek, tiga daripada 18 projek telah mencapai fasa selesai dan beroperasi.
"Bagi projek pembinaan Jambatan Sungai Air Tawar – Hutan Melintang yang akan menghubungkan Sabak Bernam dan Bagan Datuk pula dijangka siap Jun 2026 sementara baki projek masih dalam fasa perancangan sama ada di peringkat reka bentuk, konsep dan inisiatif," katanya hari ini.
Bercakap di sidang Dewan Negeri Selangor, Rizam yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar memaklumkan penggunaan tanah projek SABDA tidak membabitkan tanah penduduk tempatan.
"Buat masa ini, pengambilan tanah bagi projek terlibat masih lagi melibatkan milik kerajaan khususnya jambatan yang dibina.
"Projek di bawah SABDA akan memberi tumpuan berkaitan penyelarasan dan penyelesaian hal-hal tanah untuk memastikan tapak tanah bagi projek-projek di atas sedia untuk dibangunkan dengan lancar kelak," katanya.
SABDA antara agenda terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang diumum pada Julai 2022 membabitkan pembangunan tanaman bernilai tinggi melalui penggunaan teknologi.
Pembangunan berkeluasan 1,317 hektar dengan nilai pelaburan RM1.9 bilion dianggar memberi pulangan hasil RM248 juta setahun.