ad
AGENDA

Dua polis parah, seorang suspek maut dua kenderaan terbabas dalam parit

4 Jul 2024, 1:45 PM
Dua polis parah, seorang suspek maut dua kenderaan terbabas dalam parit

MUAR, 4 JULAI: Dua anggota dari Cawangan Unit Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar parah manakala seorang suspek maut, selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Benteng Parit Kongsi 4, Parit Jawa, di sini, kira-kira 4 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata melalui siasatan awal, pihaknya mendapati dua anggota polis berkenaan sedang dalam tugasan rondaan dan cuba menahan kereta dinaiki suspek, untuk tujuan pemeriksaan.

Beliau berkata menyedari kehadiran polis, suspek yang memandu kereta jenis Toyota Vios bertindak melarikan diri dengan memecut kereta dipandunya ke arah Parit Jamil.

“MPV yang dinaiki anggota berusia 40 dan 41 tahun itu, telah membunyikan siren serta memberikan isyarat supaya suspek memberhentikan kereta, tetapi suspek enggan berbuat demikian untuk mengelak dari ditahan polis.

“Ketika usaha mengejar kedua-dua kenderaan terbabas dan termasuk ke dalam parit mengakibatkan kereta dipandu suspek terbakar, hingga menyebabkan kematian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Raiz Mukhliz berkata dua anggota yang parah itu dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar manakala mayat suspek dihantar ke Unit Ferensik HPSF untuk bedah siasat dan ujian DNA, bagi mengenal pasti identitinya.

“Kertas sisatan dibuka di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.