ad
AGENDA

Lelaki maut belakang badan tertusuk sabit sawit

4 Jul 2024, 11:40 AM
Lelaki maut belakang badan tertusuk sabit sawit

IPOH, 4 JULAI: Lelaki maut selepas belakang badannya tertusuk sabit sawit ketika menaiki motosikal pengangkut di Parit Sulaiman, Kampung Matang Gerdu dekat Bagan Serai semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Juna Yusoff berkata mangsa berusia 44 tahun berasal dari Kampung Parit Hussain, Bagan Serai itu ditemukan tidak sedarkan diri oleh orang awam sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan pada 6.58 petang daripada orang awam yang memaklumkan mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

"Pemeriksaan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dengan muatan membawa sawit hilang kawalan sehingga menyebabkan sabit pada galah sawit yang dibawanya tertusuk belakang mangsa," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Fazri Abdul Aziz di talian 05-7212222," katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.