SHAH ALAM, 4 JUN: Pintu masuk utama negara yang melintasi negeri ini perlu dalam keadaaan baik supaya menarik lebih ramai pelabur seterusnya mampu menyumbang kerancakan sektor ekonomi.
Ahli dewan negeri Pelabuhan Klang berkata perkara itu perlu diberi perhatian termasuk jalinan kerjasama dengan persekutuan memandangkan Selangor memiliki tiga pintu masuk iaitu melalui Pelabuhan Klang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.
“Memandangkan ketiga-tiga infrastruktur jalan ini milik kerajaan persekutuan maka penting untuk Kerajaan Negeri bekerjasama demi memastikan jalan sekitar pintu masuk utama selesa, selamat, berkualiti dan sentiasa dalam keadaan baik.
“Kerja pembaikan dan penyelenggaraan perlu dilaksana dengan segera tanpa perlu menunggu aduan pengguna jalan raya termasuk memastikan lampu berfungsi selain sistem tanda lalu lintas yang jelas untuk keselamatan dan keselesaan pengguna,” kata Azmizam Zaman Huri.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Selangor Pertama (RS-1) di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Azmizam berkata faktor kebersihan dan keceriaan laluan berkenaan juga memainkan peranan dalam mencipta persekitaran yang lebih segar dan indah.
“Pelabuhan Klang ingin mengusulkan supaya negeri dan persekutuan berusaha memastikan pembinaan landskap yang menarik dan lestari di laluan tiga jalan ini bagi meningkatkan dan menaikkan imej Selangor sebagai negeri maju,” katanya.