SHAH ALAM, 4 JULAI: Empat bandar raya yang digabung menjadi Lembah Klang Raya mampu bersaing dan dibanding dengan kota utama Asia menerusi penyediaan kualiti infrastruktur fizikal dan digital.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata gabungan Petaling Jaya, Shah Alam, Subang Jaya dan Klang menjadi model metropolitan untuk memperkukuh ketersambungan ekonomi dan fizikal.
Membentang Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama, jelasnya, usaha itu bagi menyeimbang ekonomi kawasan yang dimajukan sejak 1970-an untuk terus aktif bersaing dengan metropolis utama.
“Bergerak ke hadapan, cabaran utama untuk menggerakkan proses rejuvenasi kawasan ini yang sudah menjadi tapak dan enjin ekonomi negeri.
"(Ini) dengan membuka pintu kepada industri yang tidak bergantung sepenuhnya kepada keluasan tanah tetapi kemampuan teknologi tinggi seperti automasi,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor.
Amirudin menambah Lembah Klang Raya akan menjadi test bed untuk teknologi infrastruktur dan pengurusan trafik pintar serta memboleh peralihan mod pengangkutan daripada peribadi kepada awam.