PUCHONG, 4 JULAI: Selepas berjaya mengungguli Larian Menara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (PJ) minggu lalu, pelari menara Soh Wai Ching kini mahu menawan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor di Kejohanan Larian Menara Selangor pada 13 Julai ini.
Atlet berusia 30 tahun itu berkata selain memenangi kejohanan itu, beliau juga berhasrat mencatat rekod kejohanan dengan menyasarkan catatan masa 1 minit 40 saat di menara yang berketinggian 21 tingkat dan mempunyai 568 anak tangga itu.
“Saya tidak pernah berlari di SUK sebelum ini. Jadi ini kali pertama kalau boleh nak cipta rekod dan saya sasar 1:40 saat.
“Format larian untuk kejohanan ini sama seperti larian menara PJ yang Wai Ching kena lari tiga pusingan dengan pusingan terakhir menentukan pemenang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pengumuman penajaan oleh Zus Coffee di sini hari ini.
Menerusi penajaan selama setahun bermula Mei 2024 hingga April 2025 itu, Wai Ching akan menerima tajaan berbentuk wang dan barangan daripada Zus Coffee.
Sementara itu, Naib Presiden Pembangunan dan Pemasaran Zus Coffee Stephy Foong berkata syarikat itu berbangga menyokong Wai Ching dalam usahanya mencipta sejarah dan menaikkan nama Malaysia di peringkat dunia.
“Kami sentiasa menyokong jenama dan bakat tempatan. Wai Ching menampilkan semangat Malaysia.
“Dengan mewakili Malaysia pada pentas global, Soh Wai Ching menggalakkan semangat perpaduan dan rasa bangga menjadi warga Malaysia dalam kalangan rakyat, mempamerkan potensi kecemerlangan dalam diri setiap rakyat, memberi inspirasi untuk berusaha bagi mencapai yang terbaik,” katanya.
- BERNAMA