ad
AGENDA

MB: 103 pelajar tahfiz terima tajaan pengajian kemahiran di STDC

4 Jul 2024, 6:00 AM
MB: 103 pelajar tahfiz terima tajaan pengajian kemahiran di STDC

SHAH ALAM, 4 JULAI: Seramai 103 pelajar tahfiz terpilih mengikuti program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) yang ditaja Kerajaan Negeri, bagi tempoh 2021 hingga 2023.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program yang diadakan di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) itu menerima peruntukan berjumlah RM1.14 juta.

“Bermula 2021, Kerajaan Negeri membantu anak tahfiz meneruskan pengajian dalam bidang kemahiran dengan syarat yang paling minima iaitu had umur 16 tahun dan tidak memerlukan syarat kelayakan akademik sekolah menengah.

“Bantuan ini diharap dapat menaikkan semangat mereka untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi disamping meringankan beban keluarga, selain membantu menyedia peluang pekerjaan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan wakil rakyat Meru Mariam Abdul Rashid berhubung status program latihan kemahiran tahfiz bawah STDC pada persidangan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin menambah Kerajaan Negeri komited dalam usaha menggalakkan pelajar lepasan SPM dan belia untuk meneruskan pengajian dalam bidang kemahiran.

Menurutnya, program IKTISASS menawarkan program pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dengan syarat kemasukan minima selain Program Kemahiran Profesional yang menekankan industri teknologi digital dan pembuatan termaju.

“Kita juga ada tawaran bantuan kewangan iaitu Bantuan Yuran Asas Universiti (BAYU) kepada pelajar yang layak mendaftar dan meneruskan pengajian di Universiti Islam Selangor (UIS) dan Universiti Selangor (Unisel),” katanya.

IKTISASS merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi memberi peluang kepada belia mengikuti latihan kemahiran dan membolehkan mereka mendapat pekerjaan yang baik, meningkatkan bilangan usahawan serta kadar kebolehpasaran.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.