SHAH ALAM, 4 JULAI: Purata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 7.43 peratus yang dicapai negeri untuk 2021 hingga 2023 mengatasi sasaran Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
Pelan lima tahun meliputi dasar dan pembangunan negeri secara menyeluruh yang dibentangkan pada Julai 2022 itu menetapkan pertumbuhan ekonomi tahunan antara 6.5 hingga 7.0 peratus.
Mengumumkan Kajian Separuh Penggal (KSP) RS-1 hari ini, kejayaan itu menurut Dato' Menteri Besar mencerminkan keupayaan Selangor menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berkesan.
Dato' Seri Amirudin Shari berkata ia juga penting dalam menyokong pencapaian matlamat strategik ekonomi negeri bagi memastikan setiap langkah diambil sejajar pertumbuhan positif dan berkekalan.
[caption id="attachment_650619" align="alignleft" width="455"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari membentang Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 4 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
"Sebahagian proses KSP untuk menilai semula beberapa sasaran utama, seiring keadaan dan konteks semasa dan memandangkan hala tuju seiring antara persekutuan dan negeri.
"Dengan pendekatan persekutuan untuk membangunkan negeri lain supaya lebih maju, pentadbiran ini meletakkan sasaran KDNK negara sebanyak 27 peratus dengan melonjak ekonomi dalam RS-1," katanya.
Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2 Julai menunjukkan Selangor sekali lagi menjadi penyumbang tertinggi kepada sumbangan KDNK negara sebanyak 25.9 peratus tahun lalu.
Meningkat 0.4 peratus berbanding 2022, nilai ekonomi Selangor juga buat pertama kali mencecah RM406.1 bilion, sekali gus menjadi negeri pertama di Malaysia melebihi paras nilai RM400 bilion.
Negeri itu juga mencatat pertumbuhan ekonomi paling tinggi dengan nilai 5.4 peratus, melebihi pertumbuhan sederhana seluruh negara pada kadar 3.6 peratus tahun lalu.
Dalam pada itu, Amirudin menambah pentadbiran negeri juga berjaya merekod pencapaian mengagumkan dengan purata nilai pelaburan sebanyak RM39.4 bilion menerusi sektor utama yang kompleks.
"Kejayaan ini menunjukkan komitmen negeri dalam menggalakkan pembangunan ekonomi mampan dan berkesan serta memperkukuh kedudukan sebagai pusat pelaburan utama di rantau ini," katanya.
KSP RS-1 dibentangkan bagi menilai keberkesanan sistem pelaksanaan negeri, membuat anjakan baharu yang terkandung dalam Lima Tekad Lima Tahun dan melaksana usaha baharu berteras Ekonomi Madani.