SHAH ALAM, 3 JULAI: Malaysia berada di tangga ke-53 dunia dalam kemahiran mata pelajaran fizik, hasil penilaian oleh International Physics Olympiad tahun lalu.
Pengerusi Persatuan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) Kebangsaan berkata kedudukan negara jauh ketinggalan berbanding Singapura di tangga kelapan, Vietnam (10), Thailand (12) dan Indonesia (15).
Menurut Prof Emeritus Datuk Dr Noraini Idris, data itu membimbangkan selain menunjukkan kecenderungan minat pelajar terhadap mata pelajaran berasaskan sains semakin rendah.
“Tahun lalu, hanya 29.42 peratus daripada 373,525 calon peperiksaan SPM yang ambil mata pelajaran matematik tambahan, biologi (19.16 peratus), fizik (24.3 peratus), dan kimia (24.54 peratus).
"Data pada 2023 turut menunjukkan peratus pelajar yang mengambil jurusan sains tulen hanya 16.38 peratus. Kadar ini sangat membimbangkan," katanya.
Terdahulu, beliau menghadiri majlis perasmian pertandingan pementasan mini teater STEM Selangor yang disempurnakan EXCO Alam Sekitar di Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran negeri di sini, hari ini.
[caption id="attachment_650561" align="alignleft" width="500"] Pengerusi Persatuan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) Kebangsaan Dato’ Prof Dr Noraini Idris bercakap kepada media pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Pementasan Mini Teater STEM di Auditorium Dewan Jubli Perak, SUK Selangor pada 3 Julai 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
International Physics Olympiad yang pertama kali dianjur pada 1967 memberi peluang kepada pelajar berbakat dari seluruh dunia untuk mempamerkan kemahiran dalam bidang fizik.
Dalam pada itu, Noraini menambah, semua pihak perlu berganding bahu dan mengambil tindakan segera bagi memastikan pembudayaan STEM terus diperluas sekali gus meningkatkan kemahiran belia di negara ini.
Jelasnya, persatuan itu turut bekerjasama dengan pelbagai industri bagi mendedahkan pelajar dengan bidang pekerjaan masa hadapan yang sesuai hasil penguasaan dalam kemahiran Sains.
“Program seperti mini teater ini adalah tempat yang sesuai untuk mengasah kemahiran teknikal dan melengkapkan pelajar dengan keupayaan untuk komersialkan idea inovasi mereka," katanya.