ad
AGENDA

Helikopter tentera mendarat cemas di Kluang, tiga cedera

28 Jun 2024, 5:13 AM
Helikopter tentera mendarat cemas di Kluang, tiga cedera

KLUANG, 28 JUN: Sebuah pesawat M81-11 (Agusta L109H) melakukan pendaratan cemas di Landasan Terbang Kluang, Rejimen 881 Pasukan Udara Tentera Darat (Rej 881 PUTD) Kem Mahkota di sini, pada pukul 1.35 pagi tadi.

Menurut kenyataan Sel Perhubungan Raya Tentera Darat (PRTD), insiden itu melibatkan tiga anak kapal yang terdiri daripada seorang jurulatih helikopter, seorang penuntut kursus dan seorang krew kuatermaster.

Kejadian berlaku semasa sesi Latihan Penerbangan Malam, Kursus ‘Army Aviation Basic Officer Course’ di landasan berkenaan.

“Kesemua krew dalam keadaan sedar dan hasil pemeriksaan awal mendapati beberapa kecederaan dialami pegawai serta anggota seperti patah tulang belakang dan luka pada beberapa bahagian anggota badan, serta lain-lain kecederaan yang masih belum dikenal pasti.

“(Bagaimanapun), kesemua mereka berada dalam keadaan stabil dan telah dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini bagi menerima rawatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Susulan itu, PRTD memaklumkan bahawa Tentera Darat Malaysia (TDM) melaksanakan tindakan henti terbang sementara (temporary grounded) bagi helikopter berkenaan dan satu Lembaga Siasatan akan disidangkan bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Kita juga memohon agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan mendoakan supaya kesemua anak kapal diberikan kesembuhan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.