ad
AGENDA

PRK DUN Nenggiri: Hari pengundian 17 Ogos, kempen 14 hari

28 Jun 2024, 4:40 AM
PRK DUN Nenggiri: Hari pengundian 17 Ogos, kempen 14 hari

PUTRAJAYA, 28 JUN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan pada 17 Ogos ini.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 3 Ogos dan 13 Ogos.

"Daftar pemilih pilihan raya bagi PRK DUN Nenggiri mengandungi seramai 20,259 pemilih. PRK DUN Nenggiri memerlukan peruntukan sebanyak RM1.6 juta," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan dan tarikh penting berkaitan PRK DUN Nenggiri di Menara SPR di sini, hari ini.

Sebelum ini, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan kerusi DUN berkenaan kosong berkuat kuasa pada 19 Jun.

Kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azizi pada 13 Jun lepas.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.