ad
AGENDA

BNM arah institusi perbankan tentukan punca gangguan perkhidmatan dalam talian

26 Jun 2024, 3:51 AM
BNM arah institusi perbankan tentukan punca gangguan perkhidmatan dalam talian

SHAH ALAM, 26 JUN: Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengarahkan institusi perbankan terlibat insiden gangguan perkhidmatan dalam talian segera menentukan punca utama masalah berkenaan.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata bank juga perlu menetapkan langkah pembetulan dan pencegahan bagi mengelakkan insiden sama berulang.

“Bank juga diarahkan untuk berkomunikasi dengan pelanggan terjejas termasuk menjawab segera sebarang aduan dan pertanyaan disebabkan oleh gangguan tersebut.

“BNM turut membuat pemantauan rapi untuk memastikan institusi perbankan yang terlibat memulihkan perkhidmatan perbankan seperti biasa secepat mungkin,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Hui Ying menjelaskan BNM akan mengambil tindakan susulan bawah peruntukan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 termasuk tindakan penyeliaan dan penalti

“BNM akan terus memantau serta memastikan piawaian penuh dipatuhi seperti yang telah ditetapkan di dalam dokumen dasar tersebut,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai isu kekerapan gangguan perkhidmatan dalam talian oleh institusi perbankan dan kesediaan kerajaan untuk mengenakan penalti.

Pada April, bank pusat meminta CIMB Group Holdings Bhd dan Malayan Banking Bhd yang mengalami gangguan perkhidmatan untuk memberikan penjelasan tentang punca yang menyebabkan insiden terbabit.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.