ad
AGENDA

Sultan murka kejadian curi tabung, titah pentadbir masjid tingkat keselamatan

25 Jun 2024, 8:30 AM
Sultan murka kejadian curi tabung, titah pentadbir masjid tingkat keselamatan

SHAH ALAM, 25 JUN: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita terhadap kejadian kecurian tabung masjid di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, baru-baru ini.

Selangor Royal Office dalam kenyataan di Facebook memaklumkan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga amat murka terhadap individu yang tergamak melakukan perbuatan terkutuk itu.

“Baginda amat murka dengan pelaku berkenaan yang tergamak mencuri duit tabung masjid hasil sumbangan dan sedekah orang ramai, yang bertujuan untuk kesejahteraan umat Islam di kariah berkenaan.

“Baginda mengingatkan bahawa perbuatan mencuri adalah perbuatan keji dan merupakan satu dosa besar khususnya apabila melibatkan kebajikan untuk golongan kurang berkemampuan seperti asnaf dan anak-anak yatim,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Dalam kenyataan sama, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan kekecewaan terhadap pengurusan jawatankuasa masjid yang tidak melaporkan kejadian berkenaan secara rasmi kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Titah Baginda, ahli jawatankuasa masjid perlu mengambil langkah pencegahan awal yang lebih berkesan seperti mengetatkan kawalan keselamatan selain Baginda enggan kelalaian seumpama berulang.

“Baginda berharap kejadian kecurian tabung masjid sebegini dapat dibendung dan tidak akan berlaku lagi di mana-mana masjid dan surau khususnya di Selangor,” titah Baginda.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.