ad
AGENDA

Selangor pantau rapat ramalan La Nina, unit urus bencana bersiap siaga

24 Jun 2024, 1:10 PM
Selangor pantau rapat ramalan La Nina, unit urus bencana bersiap siaga

SHAH ALAM, 24 JUN: Kerajaan Negeri memantau secara dekat fenomena La Nina yang dijangka melanda negara bermula bulan depan.

EXCO Pengurusan Bencana Najwan Halimi berkata pihaknya sudah diberikan taklimat ringkas mengenai persiapan agensi berkaitan bagi mendepani perubahan cuaca itu.

“Kita memang sentiasa pantau dari masa ke semasa mengenai perubahan iklim. Saya juga sudah mendapat taklimat ringkas daripada unit pengurusan bencana Selangor mengenai persediaan mereka.

“Di peringkat negeri, memang kita pantau rapat. Sebarang kemungkinan atau implikasi, insyaallah kita akan dapat tangani,” katanya.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berjumlah RM200,000 kepada Persatuan Memanah Selangor dan Kelab Ragbi Selangor.

Diadakan di pejabat MBI di Bangunan Darul Ehsan di sini, majlis turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MBI Selangor Saipolyazan M Yusop dan Pengarah Eksekutif MSN negeri Mohamad Nizam Marjugi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini memaklumkan fenomena La Nina yang biasanya membawa keadaan cuaca lebih lembap dijangka bermula antara Julai dan September depan.

Ketua Pengarahnya Muhammad Helmi Abdullah dilaporkan berkata fenomena itu lazimnya mencapai kemuncak menjelang akhir tahun dan dijangka berterusan pada awal tahun depan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.