ad
AGENDA

Pergelangan tangan manusia ditemui di lokasi kereta terbakar

23 Jun 2024, 12:21 PM
Pergelangan tangan manusia ditemui di lokasi kereta terbakar

IPOH, 23 JUN: Pergelangan tangan manusia yang terputus ditemui berhampiran lokasi sebuah kereta yang terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di hadapan Hospital Bahagia Ulu Kinta dekat Tanjung Rambutan di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad dalam kenyataan berkata kereta jenis Toyota Vios itu terbakar kira-kira 95 peratus dipercayai akibat kemalangan dengan dua buah kenderaan.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan pada 11.16 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tambun bergegas ke lokasi kejadian.

"Terdapat tangan manusia yang telah putus dijumpai dan kesemua mangsa yang terlibat telah tiada setibanya bomba di lokasi kejadian.

"Operasi memadam kebakaran menggunakan dua aliran salur bantu mula air tangki jentera hingga api padam sepenuhnya. Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya menambah operasi tamat pada 11.49 pagi.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.