ad
AGENDA

Insiden bot nelayan terbalik dipukul ombak, tekong ditemui lemas

23 Jun 2024, 2:39 AM
Insiden bot nelayan terbalik dipukul ombak, tekong ditemui lemas

BATU PAHAT, 23 JUN: Tekong bot nelayan dilaporkan hilang selepas bot dinaiki bersama empat yang lain terbalik kira-kira 6.8 batu nautika barat daya Tanjung Segenting di sini pada Jumaat lepas, ditemukan lemas pada 7 malam semalam.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata mayat Chia Kah Chong, 51, ditemukan nelayan lain yang kebetulan lalu berhampiran lokasi bot dilaporkan terbalik itu.

Beliau berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat sebelum diserah kepada polis dan dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat.

Menurutnya tiga lagi mangsa iaitu Lee Pong Ling, 68; Tan Hai Lian, 62, dan Raud Darus@Hamid, 53, masih belum dijumpai.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, bot dinaiki kelima-lima mangsa dipercayai terbalik setelah dilanda ombak kuat akibat cuaca buruk.

Bagaimanapun seorang mangsa Tan Siak Bin, 43, terselamat dalam kejadian itu selepas ditemui nelayan lain yang melalui tempat kejadian.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.