ad
AGENDA

WHO beri amaran ubat diabetes palsu diedar seluruh dunia

21 Jun 2024, 6:19 AM
WHO beri amaran ubat diabetes palsu diedar seluruh dunia

GENEVA, 21 JUN: Ubat diabetes palsu telah diedarkan di seluruh dunia sejak 2022, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran dalam satu kenyataan pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pihak berkuasa kesihatan merujuk secara khusus kepada penemuan di Britain, Amerika Syarikat dan Brazil sejak Oktober 2023.

Ubat yang terlibat ialah Ozempic, ubat yang mengandungi bahan aktif semaglutide, yang juga diluluskan oleh Kesatuan Eropah (EU) untuk rawatan diabetes jenis 2.

Versi palsu kelihatan sama dengan ubat sebenar. Kerana produk itu juga menyekat selera makan, ia semakin banyak diberi preskripsi untuk penurunan berat badan.

Namun, ubat palsu mungkin tidak mengandungi jumlah bahan aktif yang betul dan oleh itu boleh menyebabkan gula dalam darah tidak terkawal bagi pesakit diabetes, kata WHO, sambil menambah bahawa ia mungkin juga mengandungi bahan aktif lain yang berisiko kepada kesihatan.

WHO menyeru doktor, ahli farmasi, pihak berkuasa pengawalseliaan dan orang awam untuk berwaspada.

Orang ramai hanya perlu membeli ubat melalui preskripsi dari farmasi dan bukan secara dalam talian, kata WHO.

Pengguna perlu memastikan bahawa skala dos pada pen insulin dipaparkan dengan betul, label kelihatan betul dan tiada kesalahan ejaan pada kotak, tambah WHO.

-BERNAMA-dpa

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.