ad
AGENDA

Bayi perempuan baharu lahir ditemukan di ruang solat masjid

18 Jun 2024, 9:49 AM
Bayi perempuan baharu lahir ditemukan di ruang solat masjid

KUANTAN, 18 JUN: Seorang bayi perempuan sempurna sifat dipercayai baharu lahir ditinggalkan dalam ruangan solat wanita di Masjid Kampung Lubuk Kulit, Lipis, dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Ismail Man berkata polis menerima laporan penemuan bayi yang masih bertali pusat dan diselimuti telekung serta diletakkan di atas sejadah itu pada kira-kira 5.30 pagi.

“Bayi tersebut kini berada di Hospital Kuala Lipis untuk siasatan dan rawatan lanjut. Ibu bapa bayi tersebut masih dikesan polis bagi mengetahui punca bayi tersebut ditinggalkan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuang kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata individu yang mempunyai maklumat berkaitan, boleh tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Daerah Lipis di talian 09-3121999.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.