ad
AGENDA

514 penjawat awam terima ganjaran lebih RM1 juta, dedah, lapor kes rasuah

18 Jun 2024, 6:01 AM
514 penjawat awam terima ganjaran lebih RM1 juta, dedah, lapor kes rasuah
514 penjawat awam terima ganjaran lebih RM1 juta, dedah, lapor kes rasuah

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Seramai 514 penjawat awam diberi ganjaran lebih RM1 juta antara 2012 hingga 2023 kerana mendedah serta melaporkan kes rasuah yang membawa kepada sabitan, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata pemberi maklumat kepada kerajaan akan diberi ganjaran sama seperti tawaran suapan kerana mereka membantu dalam membanteras kegiatan rasuah.

"Ia ringgit untuk ringgit, jika anda ditawarkan RM100, kerajaan akan beri anda RM100. Jika anda ditawarkan RM1 juta, kerajaan akan kembalikan RM1 juta kepada anda," katanya ketika menjadi tetamu program audio siar Beyond the Headlines kendalian New Straits Times (NST), lapor Berita Harian.

Di bawah Strategi Pencegahan Rasuah Kebangsaan 2024-2028 yang diumumkan Mei lalu, Azam berkata skim sama boleh diperluaskan kepada masyarakat umum namun ia masih di peringkat cadangan.

"Perkara itu masih dalam cadangan, prosedur khusus dan optimum bersama agensi peneraju masih belum diputuskan. Itu di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

[caption id="attachment_542494" align="alignleft" width="500"] Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki ketika ditemui media di pejabat SPRM, Putrajaya pada 9 September 2022. Foto BERNAMA[/caption]

"Pertama sekali, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 perlu diperbaharui dan kami bersetuju, BHEUU kini sedang dalam proses meminda undang-undang," katanya.

Beliau berkata SPRM satu-satunya agensi penguat kuasa yang menggunakan sepenuhnya undang-undang itu dan sejak tujuh tahun lalu, sudah mempromosikannya kepada orang ramai bahawa mereka harus menjadi pemberi maklumat.

"Ada tiga kategori yang tampil ke SPRM, iaitu pengadu, pemberi maklumat dan informan. Pengadu sebagai contoh, perlu ke mahkamah, namun saya boleh katakan kurang lima peratus mereka yang tampil ingin membuat aduan bersedia untuk beri keterangan di mahkamah.

"Bagi pemberi maklumat dan informan, identiti mereka dilindungi dengan baik. Sekarang, BHEUU ingin memberi ganjaran kepada mereka dan saya fikir ia idea yang baik, boleh menggalakkan lebih ramai tampil membuat aduan, terutama kepada SPRM," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.