ad
AGENDA

Aidiladha: Aliran trafik menghala ke Pantai Timur, utara bergerak perlahan

15 Jun 2024, 6:51 AM
Aidiladha: Aliran trafik menghala ke Pantai Timur, utara bergerak perlahan

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Aliran trafik dilaporkan bergerak perlahan di beberapa lebuh raya utama berikutan pertambahan kenderaan, menjelang perayaan Hari Raya Aidiladha pada Isnin.

Setakat 1 tengah hari, terdapat pertambahan kenderaan keluar dari ibu kota dengan trafik perlahan dilaporkan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK).

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata trafik perlahan arah Utara dari Skudai ke Kulai dan dari Bukit Beruntung ke Bukit Tagar.

“Selain itu, terdapat beberapa kemalangan dilaporkan berlaku arah Utara dari Taiping ke Bukit Merah menyebabkan trafik bergerak perlahan di Kilometer (KM) 191 dan di KM162.5,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine 1-800-88-0000 dan laman X @plustrafik atau talian LLM 1-800-88-7752 serta laman X @llmtrafik.

Sementara itu di Gua Musang, Kelantan, aliran trafik di pintu masuk sempadan negeri itu di sini lancar dan terkawal meskipun mengalami pertambahan bilangan kenderaan sejak petang semalam, susulan anak perantau mula pulang ke kampung halaman.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata pihaknya telah mengambil langkah proaktif dengan menjalankan penarikan trafik kira-kira pukul 10.30 pagi di Kampung Mentara, bagi melancarkan keadaan lalu lintas yang memasuki jajahan ini.

“Polis turut mendapat bantuan dari Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Penguat Kuasa Majlis Daerah Gua Musang serta Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU), yang bersiap siaga membantu kenderaan yang rosak ketika dalam perjalanan bagi mengelak berlakunya kesesakan,” katanya kepada pemberita di Kampung Setawar, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis.

Beliau berkata polis akan melanjutkan Op Lancar sehingga 20 Jun di Gua Musang, walaupun operasi di seluruh negara akan berakhir pada 17 Jun nanti.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.