ad
AGENDA

Menteri: Beri ruang polis siasat maklumat kes Zayn Rayyan tersebar

14 Jun 2024, 2:10 PM
Menteri: Beri ruang polis siasat maklumat kes Zayn Rayyan tersebar

KUALA LUMPUR, 14 JUN: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meminta orang ramai memberikan ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan sekiranya betul terdapat dakwaan penyebaran maklumat berhubung kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin di media sosial.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai tatacara operasi piawai (SOP) yang perlu dipatuhi dalam menjalankan sebarang siasatan termasuk dilaksanakan dengan penuh cermat dan berhati-hati.

"Perkara seumpama ini (penyebaran maklumat) merupakan satu elemen yang boleh mencacatkan proses penyiasatan," katanya pada sidang media selepas majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan dan Posthumous di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Azmi Abu Kassim.

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan agar masyarakat perlu bersandarkan maklumat daripada sumber yang mempunyai autoritatif berhubung kes pembunuhan kanak-kanak malang itu.

Jelasnya, pendedahan yang tidak sahih hanya akan mencipta sentimen dan tanggapan tersendiri dalam kelompok masyarakat.

"Dengan sentimen dan harapan rakyat, kita tidak boleh ketepikan prinsip dan nilai keadilan dalam proses siasatan. Jadi dengan panduan begitulah tugas pasukan polis dalam melakukan siasatan," katanya.

Semalam, tular di media sosial tangkap layar yang didakwa laporan siasatan membabitkan kes pembunuhan kanak-kanak autisme itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menerusi laporan Bernama berkata polis akan menyiasat pihak yang bertanggungjawab menyebarkan tangkap layar berkenaan.

Selain itu, polis turut mengemukakan permohonan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk menurunkan tangkap layar berkenaan.

-BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.