ad
AGENDA

Ejen insurans ditahan ugut bunuh penghantar makanan hasrat tamat polisi

14 Jun 2024, 4:30 AM
Ejen insurans ditahan ugut bunuh penghantar makanan hasrat tamat polisi

BALIK PULAU, 14 JUN: Polis menahan seorang ejen insurans bagi membantu siasatan berhubung kes ugutan bunuh terhadap pelanggannya di Bayan Lepas di sini dalam kejadian pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditahan pada Rabu susulan laporan polis dibuat oleh mangsa yang merupakan seorang penghantar makanan.

"Lelaki berusia 28 tahun itu membuat laporan polis pada Rabu dan memaklumkan dia menghubungi ejen tersebut kerana mahu membatalkan polisi insurans berikutan tidak mampu untuk membayar serta tidak lagi berminat untuk meneruskannya.

"Ejen itu mengugut untuk membunuh mangsa jika dia membatalkan polisi insurans tersebut dan suspek juga memaklumkan akan membayar polisi insurans lelaki itu bagi tempoh tiga bulan supaya cukup tempoh satu tahun melanggan polisi insurans berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kamarul Rizal berkata suspek turut mengugut mangsa sekiranya mendapat tahu lelaki itu ke pejabatnya untuk membatalkan insurans.

Menurutnya, ejen insurans itu kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.