ad
AGENDA

Lebih 2,000 trak bantuan ke Gaza kandas di sempadan, penduduk kebuluran

12 Jun 2024, 3:43 AM
Lebih 2,000 trak bantuan ke Gaza kandas di sempadan, penduduk kebuluran

ISTANBUL, 12 JUN: Lebih 2,000 trak yang membawa bantuan kemanusiaan dan barangan komersial terkandas di sempadan Rafah di Mesir, menurut kenyataan Direktorat Jeneral Kesatuan Eropah untuk Perlindungan Awam dan Bantuan Kemanusiaan pada Selasa.

"Lebih 2,000 trak yang membawa bantuan kemanusiaan dan barangan komersial sedang menunggu di Mesir, bersedia untuk masuk ke Gaza.

"Susulan operasi ketenteraan yang ketat, lintasan Rafah kekal ditutup. EU menyeru akses kemanusiaan yang berterusan, tanpa halangan dan selamat,” menurut kenyataan itu yang disiarkan di platform X.

Lintasan itu ditutup sejak tentera Israel melancarkan operasi di bandar selatan Rafah pada 6 Mei, lapor Agensi Anadolu.

Perang yang bermula Oktober lalu telah menyebabkan lebih 37,000 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala ramai orang awam cedera.

Israel juga memusnahkan sebahagian besar Semenanjung Gaza dan mengenakan sekatan terhadap wilayah itu, menyebabkan lebih dua juta penduduk di ambang kebuluran.

Israel dituduh melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), dengan keputusan terbarunya memerintahkan Tel Aviv menghentikan segera operasinya di Rafah.

ICJ juga meminta Israel mengekalkan pembukaan lintasan Rafah bagi menyalurkan perkhidmatan asas yang sangat diperlukan dan bantuan kemanusiaan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.