ad
AGENDA

Terbuka Indonesia: Tewaskan tuan rumah, beregu lelaki negara ke peringkat akhir

9 Jun 2024, 12:00 AM
Terbuka Indonesia: Tewaskan tuan rumah, beregu lelaki negara ke peringkat akhir

JAKARTA, 9 JUN: Beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun melangkah ke final Terbuka Indonesia 2024 selepas mengecewakan pasangan tuan rumah Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani di sini malam tadi.

Pasangan negara melenyapkan sorakan penonton tuan rumah di Stadium Istora Senayan, menewaskan beregu Indonesia di ranking ke-29 itu 29-27, 21-13 dalam perlawanan yang berlangsung selama 45 minit itu.

Wei Chong-Kai Wun bakal berdepan saingan beregu dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang dalam perlawanan akhir, hari ini.

Terdahulu, pasangan dari China itu mengetepikan pilihan keempat dari Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-13, 21-15.

Sementara itu, Wei Chong mengakui penyokong tempatan memberikan tekanan di set pertama namun mereka mampu mengawal keadaan sehingga set kedua.

"Set pertama memang rasa gementar sikit dengan tekanan sebab penyokong mereka.

“Tapi set kedua rasa okey sikit. Kita pun tak fikir kita boleh sampai final, cuma cuba untuk menang setiap perlawanan. Esok kita ada perlawanan lagi, jadi kita kena bersedia," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.