ad
AGENDA

Sultan: Hayati khutbah, Islam perkukuh perpaduan kaum, identiti Malaysia

7 Jun 2024, 10:08 AM
Sultan: Hayati khutbah, Islam perkukuh perpaduan kaum, identiti Malaysia

SHAH ALAM, 7 JUN: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyeru umat Islam memahami dan menghayati khutbah Jumaat hari ini yang menekankan perpaduan dalam kepelbagaian agama dan kaum.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut mengingatkan tanggungjawab umat Islam dalam memastikan perpaduan, keharmonian dan kestabilan negara terus kukuh berdasarkan prinsip agama sebenar.

"Ke arah itu, umat Islam hendaklah berjemaah dalam melaksanakan ibadah kepada Allah SWT agar dapat melahirkan perpaduan dan persepakatan berlandaskan Islam dan Iman yang satu.

"Malaysia adalah negara yang sangat unik kerana dihuni penduduk pelbagai agama, bangsa dan etnik.

Islam agama bagi Persekutuan, namun penduduknya bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing.

"Kebebasan ini membentuk perpaduan nasional yang kukuh antara kaum dan pembentukan identiti bangsa Malaysia," menurut kenyataan di Facebook Selangor Royal Office.

Baginda bertitah Islam sebagai cara hidup yang syumul turut menyediakan pedoman lengkap berkaitan hukum, undang-undang, peradaban dan tatasusila umat Islam bersama bukan Islam.

Tegas Baginda, prinsip utama adalah melayani semua secara sama rata melainkan beberapa aspek, malah ia bertepatan sabda Rasulullah SAW sebagaimana riwayat daripada Safwan bin Sulaim Radhiallahuanhu.

“Islam secara umumnya memandu manusia dalam kehidupan. Berpandukan kepada ajaran agama, manusia dapat mengetahui yang mana benar dan mana yang salah.

"Dengan agama, manusia dapat hidupharmoni, tenteram dan berdisiplin. Islam mengandungi prinsip yang tetap lagi tegas seperti yang dalam surah al- Kafirun ayat 6, yang bermaksud: “bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku”," menurut kenyataan itu.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.