ad
EXCO

Sungai Kandis tercemar, sisa dipercayai bukan dari industri berhampiran

3 Jun 2024, 4:52 AM
Sungai Kandis tercemar, sisa dipercayai bukan dari industri berhampiran

SHAH ALAM, 3 JUN: Pencemaran air berwarna biru di Sungai Kandis dipercayai dibawa dari kawasan lain ke Taman Perindustrian Bukit Kemuning, Seksyen 34, di sini.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata siasatan awal mendapati kegiatan tersebut disyaki dilakukan pada waktu malam bagi mengelakkan aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa.

Jelasnya, taman perindustrian berkenaan terdiri daripada industri kecil dan sederhana (IKS) yang menjalankan aktiviti berasaskan logam, kimpalan, gudang dan pembungkusan serta tidak menghasilkan efluen perindustrian.

“Semasa pemeriksaan, pasukan penyiasat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor menyusuri laluan air berwarna biru hingga ke bahagian hulu sejauh lebih kurang 7 km dan menemui sebuah kawasan semak yang ditakungi cecair berwarna biru.

“Berdasarkan siasatan awal dan kesan yang ditemui di lokasi tersebut, berkemungkinan cecair berwarna biru dibawa dari tempat lain dan dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah Jamaliah, cecair berwarna biru itu dilihat seakan sisa cat bercampur dengan lapisan minyak dan dua sampel telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisis.

Katanya siasatan dibuat mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan JAS sehingga penjenayah alam sekitar dapat ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Hubungi talian bebas tol 1-800-88-2727 atau emel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my jika terdapat sebarang aduan.

Semalam Selangorkini melaporkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) membuka kertas siasatan susulan penemuan aliran air berwarna biru di Sungai Kandis kelmarin.

LUAS memaklumkan pihaknya menemui punca yang disyaki di kawasan perindustrian di Jalan Omboh, di sini, iaitu kesan pembuangan cat berwarna biru.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.