ad
AGENDA

Ulama: Alim, warak belum cukup syarat jadi pemimpin

3 Jun 2024, 3:36 AM
Ulama: Alim, warak belum cukup syarat jadi pemimpin
Ulama: Alim, warak belum cukup syarat jadi pemimpin
Ulama: Alim, warak belum cukup syarat jadi pemimpin

SHAH ALAM, 3 JUN: Individu alim dan warak dalam urusan agama tetapi tidak berkeupayaan mentadbir negara “tidak boleh dan tidak berhak” dilantik sebagai pemimpin.

Ulama pondok Pattani bagaimanapun berkata individu yang alim adalah salah satu syarat menjadi pemimpin dengan menukilkan pandangan Imam Al-Mawardi.

“Kalau dia ada sifat kealiman, kewarakan tetapi tidak ada kuasa nak bawa (memimpin) negara, itu tidak boleh, tidak berhak dilantik (jadi pemimpin) sebagaimana isu Saidina Umar diminta lantik anaknya (Abdullah) Ibn Umar untuk menggantikan beliau.

“Umar berkata anaknya seorang yang warak dan ahli ibadah. Dia tak layak bawa (memimpin) ummah,” kata Baba Ghazali Ahmad Al-Fathoni.

Ahli Jawatankuasa Majlis Agama Islam Wilayah Pattani itu menjawab soalan hadirin di Seminar Penghayatan Riyadhus As-Salihin mengenai tajuk “Feqh Kenegaraan: Ibrah Nabawiah” di sini semalam.

Beliau menjawab soalan peserta mengenai keutamaan dalam memilih pemimpin sama ada alim tetapi tidak cekap mentadbir atau pemimpin tidak alim tetapi cekap dan berfikiran jauh.

[caption id="attachment_645964" align="alignnone" width="893"] Peserta mengikuti Seminar Penghayatan Riyadhu as-Salihin (sesi-5) “Feqh Kenegaraan: Ibrah Nabawiah" di Dewan Orkid Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 2 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]

Baba Ghazali turut menyatakan kebimbangan beliau jika pemilihan pemimpin dalam kalangan individu yang kurang alim sehingga tindakannya boleh merosakkan agama.

“Daripada (amalan dalam) sejarah khalifah Islam, (pemimpin) yang tak alim dia ambil orang alim bawa masuk kampung (sertai pemerintahan). Orang alim beri nasihat dalam masalah keagamaan.

"Pemimpin yang berkuasa jaga keamanan negara yang jadi tuntutan rakyat, kita kena ijtihad. Kita pilih orang alim, (supaya) orang berkuasa bantu dia.

"Buat apa kita pilih pemimpin berkuasa, biar orang alim jadi naib dan pendokong dia, itu yang sepatutnya. Tetapi kita boleh bincang nak buat tak boleh. Nak praktik itu tak boleh, itu masalahnya,” katanya.

[caption id="attachment_645965" align="alignleft" width="348"] Timbalan Mufti Selangor Dato’ Prof Madya Dr Miszairi Sitiris[/caption]

Sebelum itu, Timbalan Mufti Selangor Dato’ Prof Madya Dr Miszairi Sitiris berkata terdapat lima hadis dalam Kitab Riyadh As-Salihin karya Imam An-Nawawi berkaitan pemimpin dan kenegaraan.

Hadis itu berkaitan pemimpin dianjur bersikap lemah lembut dengan rakyat dan bersikap adil. Selain itu rakyat wajib mentaati pemerintah dalam perkara ketaatan, larangan meminta jawatan dan suruhan menjadi wazir atau pembantu yang baik.

“Ketaatan kepada pemimpin itu tidak mutlak selama mana ia tidak berkaitan dengan maksiat atau melanggar syariat,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.