ad
AGENDA

Ibu bapa Zayn Rayyan masih disiasat, polis turut cari petunjuk lain

2 Jun 2024, 4:55 AM
Ibu bapa Zayn Rayyan masih disiasat, polis turut cari petunjuk lain

BANDAR PERMAISURI, 2 JUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta semua pihak bertenang dan memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes bunuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razaruddin Husain berkata polis masih menjalankan siasatan lanjut terhadap ibu bapa kanak-kanak itu, yang ditahan di sekitar Puncak Alam Jumaat lalu.

Beliau berkata selain ibu bapa kanak-kanak berumur enam tahun itu, tiada tangkapan lain dilakukan dan polis masih mencari petunjuk lain bagi membantu siasatan.

"(Ibu bapa mangsa) masih direman tujuh hari, bagi (masa) polis Selangor untuk siasat. Buat masa ini itu sahaja dan kita akan terus siasat," katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Kuda Lasak (Terbuka) Piala Ketua Polis Negara 2024 di Terengganu International Endurance Park Lembah Bidong, hari ini.

Mayat Zayn Rayyan ditemui di kawasan anak sungai berhampiran kawasan kediamannya di Damansara Damai 10 malam 6 Disember lalu sehari selepas dilaporkan hilang, dan berdasarkan bedah siasat, kanaka-kanak itu dipercayai dibunuh.

Sementara itu pelumba dari kelab Royal Kelantan Endurance, Mohd Aminuddin Ali muncul juara kategori utama Piala Ketua Polis Negara 2024, dan membawa pulang piala, sijil kemenangan serta wang tunai RM3,000.

Tempat kedua juga dimenangi pelumba dari Royal Kelantan Endurance Muhamad Faisal Mohd Ashari manakala di tempat ketiga, pelumba Royal Terengganu Endurance Stable Mohd Bukhari Rozali.

Muhammad Faisal membawa pulang sijil penyertaan dan wang tunai RM2,500 manakala Mohd Bukhari menerima sijil penyertaan dan wang tunai berjumlah RM1,500.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.