ad
AGENDA

10 cedera bas ekspres hilang kawalan, langgar belakang lori

31 Mei 2024, 11:03 AM
10 cedera bas ekspres hilang kawalan, langgar belakang lori

IPOH, 31 MEI: Sebanyak 10 individu termasuk pemandu bas mengalami kecederaan apabila bas ekspres yang dinaiki mereka melanggar bahagian belakang sebuah lori tangki di Kilometer (KM) 290.9 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 5.30 pagi.

"Akibat kemalangan itu, kesemua 10 mangsa berusia antara 13 hingga 60 tahun yang mengalami kecederaan parah dan ringan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Bagaimanapun, 16 orang lagi mangsa termasuk pemandu lori berusia 30 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu bas berusia 38 tahun itu yang membawa 25 orang penumpang dari Sungai Nibong, Pulau Pinang menuju ke Kuala Lumpur telah hilang kawalan dan terlanggar bahagian belakang lori tangki muatan simen yang juga dalam perjalanan ke arah sama.

Menurutnya pemandu bas tersebut mempunyai 15 rekod saman trafik termasuk dua kesalahan kemalangan, manakala semakan rekod bas yang dipandu pula memiliki 38 rekod saman dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan jalan 1987 iaitu memandu dengan tidak cermat serta tidak bertimbang rasa.

"Justeru, polis meminta mana-mana individu yang menyaksikan kemalangan ini supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Insp Edwin Tang Chiew Song di talian 016-5506863 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan pada 5.16 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai dan Gopeng dikejarkan ke lokasi kejadian.

Sabarodzi berkata mangsa yang tidak cedera dihantar ke destinasi yang dituju menggunakan bas ekspres lain dan operasi tamat sepenuhnya pada 6.45 pagi

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.