ad
AGENDA

Baucar buku RM100, tebus melalui aplikasi DELIMa mulai hari ini

31 Mei 2024, 7:22 AM
Baucar buku RM100, tebus melalui aplikasi DELIMa mulai hari ini

SHAH ALAM, 31 MEI: Baucar buku RM100 untuk pelajar tahap dua sekolah rendah dan menengah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia boleh ditebus melalui aplikasi DELIMa mulai 2 petang ini.

KPM memaklumkan penerima yang layak perlu mendaftar masuk di aplikasi itu menggunakan nombor pengenalan diri dan kata laluan sebelum menekan ikon Kota Buku Digital.

“Seterusnya, murid atau pelajar perlu mendaftar akaun di Kota Buku Digital dan kredit akan dipapar di akaun masing-masing.

“Kemudian, murid atau pelajar boleh memilih judul buku yang disukai terutama senarai Judul Cadangan MADANI.

"Setelah selesai memilih, murid atau pelajar dikehendaki daftar keluar dan memilih pilihan bayaran kredit e-kedai. Buku yang dibeli akan dihantar ke alamat yang didaftarkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, perdana menteri mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM100 untuk pelajar tahap dua sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif ini dikembalikan semula bagi menaikkan kegemilangan budaya membaca.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.