ad
AGENDA

Anak lelaki pukul, cederakan ibu sedang solat dengan pisau pemotong getah

22 Mei 2024, 7:52 AM
Anak lelaki pukul, cederakan ibu sedang solat dengan pisau pemotong getah

GERIK, 22 MEI: Lelaki berusia 29 tahun ditahan dipercayai mencederakan ibunya dengan pisau pemotong getah ketika wanita itu menunaikan solat di rumah mereka di Kampung Bongor, di sini semalam.

Suspek didakwa turut mencederakan adik lelakinya berumur 15 tahun yang cuba menyelamatkan ibu mereka dalam kejadian itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata suspek dikatakan memukul ibu kandungnya berusia 54 tahun pada bahagian muka dan badan sebelah kiri secara bertubi-tubi.

"Siasatan mendapati suspek didakwa memukul ibunya yang sedang mendirikan solat ketika itu menyebabkan mangsa menjerit meminta tolong.

"Adik suspek yang berada di bilik air terdengar jeritan itu lalu keluar dan melihat suspek sedang memukul ibu mereka bertubi-tubi. Dia turut dipukul apabila cuba menolong ibu mereka," katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Berita Harian.

Mohd Yusri berkata, kedua-dua mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Bersia, di sini, pada 7.50 pagi semalam dalam keadaan berdarah akibat kecederaan dialami sebelum dimasukkan ke Hospital Gerik.

Beliau berkata polis merampas barang kes dan menahan suspek yang kemudian dibawa ke Mahkamah Taiping, hari ini, bagi permohonan perintah reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.