ad
AGENDA

Cuepacs gesa tangani isu kurang doktor, terpaksa kerja lebih masa

17 Mei 2024, 6:41 AM
Cuepacs gesa tangani isu kurang doktor, terpaksa kerja lebih masa

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan supaya melakukan siasatan menyeluruh mengenai isu kekurangan doktor dan petugas kesihatan di beberapa hospital kerajaan ketika ini.

Presidennya Datuk Dr Adnan Mat berkata perkara itu bukan sahaja membabitkan isu kebajikan petugas kesihatan malah kemampuan fasiliti kesihatan negara dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kita pernah menghadapi situasi penularan COVID-19 sebelum ini yang hampir melumpuhkan sepenuhnya fasiliti kesihatan negara.

“Pengalaman tersebut sewajarnya menjadi pengajaran kepada kerajaan untuk memperkukuhkan lagi mobilisasi sumber tenaga petugas kesihatan di pelbagai peringkat bagi mengelakkan fasiliti kesihatan terpaksa beroperasi tanpa petugas mencukupi sehingga ada yang dikerah bertugas lebih masa demi menampung kekurangan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kejadian tular memaparkan gambar papan putih di sebuah fasiliti kesihatan memohon maaf dan memaklumkan mengenai kekurangan doktor yang menyebabkan pesakit terpaksa menunggu lama sehingga lima jam.

CUEPACS katanya memandang serius perkara itu dan tidak mahu isu kebajikan petugas kesihatan diabaikan dalam memastikan perkhidmatan kesihatan berjalan seperti biasa.

“Mereka ini tetap manusia yang memerlukan rehat mencukupi, melakukan aktiviti sosial dan mempunyai keluarga perlu diberi perhatian,” katanya.

Adnan berkata semua ketua jabatan perlu memainkan peranan penting dalam mengatasi kekurangan petugas kesihatan dengan menyalurkan isu tersebut kepada pihak atasan di Kementerian Kesihatan (KKM) agar pengisian jawatan dapat disegerakan.

Mengenai gambar papan putih yang tular itu, beliau berkata CUEPACS berharap tiada sebarang tindakan diambil terhadap petugas kesihatan terbabit dan perkara itu perlu ditangani secara positif tanpa mengabaikan keluh-kesah diutarakan demi memastikan kebajikan penjawat awam.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.