ad
EXCO

Negeri ambil tindakan segera kejadian tanah runtuh di Jalan Sungai Lalang, Semenyih

13 Mei 2024, 3:40 PM
Negeri ambil tindakan segera kejadian tanah runtuh di Jalan Sungai Lalang, Semenyih

SHAH ALAM, 13 MEI: Kerajaan Negeri sedang melaksanakan penyelarasan awal dan tindakan segera di kawasan tanah runtuh di Jalan Sungai Lalang, Semenyih bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya di kawasan sekitar.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor Ir Izham Hashim berkata pemakluman awal notis penutupan jalan, juga dinaikkan pada persimpangan menghala ke lokasi kejadian.

Beliau berkata pihaknya menerusi Jawatankuasa Kemajuan Infrastruktur negeri bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), turut mengenal pasti beberapa cadangan tindakan awal yang boleh dilaksanakan di kawasan itu, antaranya membuka laluan alternatif sementara merentasi kawasan tanah persendirian berdekatan.

“Selain itu, operator lori sampah MPKJ turut menawarkan untuk pembinaan pembentung sementara di laluan tersebut dan perkara berkenaan juga sedang diteliti,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Izham berkata sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Terdahulu, Izham menerusi hantaran itu berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian tanah runtuh di kawasan itu sehingga menyebabkan jalan terputus dari kedua-dua arah, petang tadi.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.