ad
AGENSI

Lebih RM500,000 dana berjaya dikumpul di Kejohanan Golf Amal Yide

12 Mei 2024, 9:09 AM
Lebih RM500,000 dana berjaya dikumpul di Kejohanan Golf Amal Yide

PETALING JAYA, 12 MEI : Sebanyak RM506,500 sumbangan berjaya dikumpul menerusi Kejohanan Golf Amal 2024 anjuran Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) yang berlangsung di Kelab Golf Seri Selangor di sini, hari ini.

Pengerusinya Tan Sri Mazlan Mansor berkata pengumpulan dana itu adalah bagi menampung kos pembangunan Kompleks Asrama Anak Yatim Yide di Pulau Indah.

“Alhamdulillah, seramai 128 peserta mewakili agensi, syarikat korporat dan individu menyertai kejohanan golf hari ini, terima kasih atas sumbangan dan prihatin dengan kebajikan anak yatim seliaan Yide.

“Kita harap sumbangan hari ini dapat membantu membiayai baki dana yang diperlukan untuk menyiapkan kompleks asrama ini yang dijangka siap pada Januari 2026,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan penutup kejohanan itu.

Mengulas berhubung kutipan setakat ini, Mazlan berkata anggaran kos keseluruhan pembangunan adalah RM17 juta dengan sumbangan terkumpul sebanyak RM9.6 juta.

Tambahnya, setakat ini kemajuan pembinaan telah mencecah hampir 11 peratus dan baki dana yang masih diperlukan adalah sekitar RM7.4 juta.

“Yide mempelawa sumbangan orang ramai untuk bersama merealisasikan sepenuhnya pembinaan kompleks anak yatim yang kini dibina di tanah seluas 3.47 ekar (1.40 hektar).

“Kompleks asrama ini bakal menempatkan seramai 150 anak yatim dengan fasiliti lengkap dan kondusif seperti asrama, surau, dewan serbaguna, pusat komersial dan gelanggang permainan,” ujarnya.

Terdahulu, Kejohanan Golf Amal yang bermula jam 7 pagi tadi turut menerima kunjungan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang berkenan mencemar duli membuat gimik pelancaran.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.