ad
AGENDA

Ulama bawa amanah Rasulullah untuk panduan hidup umat

25 Apr 2024, 4:13 AM
Ulama bawa amanah Rasulullah untuk panduan hidup umat

SHAH ALAM, 25 APRIL: Golongan ulama memainkan peranan dalam menyampaikan amanah yang dibawa para rasul pada zaman dahulu.

Tokoh ulama Pattani dalam sesi telaah kitab Ihya Ulumuddin berkata amanah yang dibawa itu membantu umat Islam menjalani kehidupan yang diredhai Allah Subhanahuwataala (SWT).

"Allah SWT telah membangkitkan para rasul dalam membantu kehidupan manusia dari zaman jahiliah. Dari situ, ulama-ulama ini berperanan membawa amanah daripada rasul dan sebab itu golongan ini perlu dihormati.

"Ulama ini ibarat lampu, pelita jika tiada gelap kehidupan. Ramai mengatakan tidak perlukan pelita (ulama) pada zaman sekarang, jangan...mereka ini amanah," kata Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni dalam program Program Siri Talaqqi Kitab Turath Islami di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, malam tadi.

Terdahulu, sesi malam telaah kitab Ihya Ulumuddin bersama tokoh tersebut selama dua jam itu dihadiri lebih 100 individu.

Program anjuran Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) itu merupakan kesinambungan daripada Festival Turath Islami Selangor yang diadakan Mei tahun lalu.

Melibatkan dua sesi pada hari ini, program tersebut berlangsung pada kuliah Dhuha (9.30 pagi hingga 12 tengah hari) dan kuliah isyak (9 hingga 11 malam).

Program tersebut diteruskan esok bermula jam 9.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Festival Turath Islami Selangor diadakan bermula tahun lalu untuk memartabat syiar Islam menerusi penganjuran majlis ilmu mendalam yang menampilkan syarahan tokoh ulama antarabangsa.

Program cetusan idea Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berjaya menarik lebih 10,000 peserta termasuk pelajar keagamaan dari Indonesia, Thailand dan Singapura.

Siri tersebut turut dianjurkan bersama Media Selangor Sdn Bhd, Akademi Pemikiran Turath, pejabat Dato’ Menteri Besar dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.