ad
AGENSI

Jualan murah di tujuh cawangan pasar raya Segi Fresh Sabtu ini

18 Apr 2024, 5:00 AM
Jualan murah di tujuh cawangan pasar raya Segi Fresh Sabtu ini

SHAH ALAM, 18 APRIL: Warga Selangor berpeluang mendapatkan barangan keperluan asas pada harga murah menerusi Jualan Ehsan Rahmah (JER) di tujuh cawangan pasar raya Segi Fresh, Sabtu ini.

Program dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor itu diadakan di cawangan Subang, Puchong Denai, Bukit Sentosa, Kuala Kubu Bharu, Ara Damansara, Bandar Teknologi Kajang dan Pulau Indah.

“Segi Fresh ingin mengucapkan terima kasih kepada PKPS dan KPDN Selangor kerana membolehkan kami menawarkan harga istimewa kepada semua penduduk Selangor.

“Jangan lepaskan peluang ini untuk mendapatkan produk berkualiti dengan harga istimewa yang kami tawarkan. Mari bersama-sama berkongsi kebahagiaan dalam setiap pembelian anda di Segi Fresh!,” maklumnya di Facebook.

Pada Julai tahun lalu, PKPS menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Segi Fresh bertujuan memperluas capaian jualan murah anjuran Kerajaan Negeri mulai 1 Ogos.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Selain bekerjasama dengan Segi Fresh, PKPS turut menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih seluruh negeri hampir setiap hari.

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.