ad
AGENDA

6,034 guru kontrak mula tugas, penuhi keperluan sekolah seluruh negara

17 Apr 2024, 8:24 AM
6,034 guru kontrak mula tugas, penuhi keperluan sekolah seluruh negara

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Kementerian Pendidikan (KPM) menempatkan 6,034 guru baharu Lantikan Secara Kontrak (COS) di sekolah seluruh negara, bermula Isnin.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan 1,858 daripada keseluruhan jumlah guru baharu COS itu, ditempatkan di sekolah menengah manakala 4,176 lagi, di sekolah rendah.

“Penempatan guru baharu COS dibuat berdasarkan kepada tiga prinsip asas iaitu kepentingan perkhidmatan, kekosongan perjawatan serta keperluan opsyen atau mata pelajaran semasa di sekolah.

“KPM ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) atas lantikan guru baharu COS, bagi memenuhi keperluan semasa di sekolah seluruh negara,” menurut kenyataan berkenaan.

KPM memaklumkan pihaknya dan SPP, akan terus bekerjasama erat bagi memastikan isu kekurangan guru dapat diatasi.

Kenyataan itu memaklumkan pelantikan guru baharu COS itu merupakan cerminan komitmen berterusan Kerajaan Madani untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.