SHAH ALAM, 17 APRIL: Sebahagian mangsa banjir sekitar Sungai Buloh dan Kuala Selangor yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dibenarkan pulang setakat 12 tengah hari tadi.
Bagaimanapun, pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Selangor) berkata dua lagi PPS masih dibuka iaitu Sekolah Merbau Sempak dan Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor Desa Coalfields.
Menurut Wan Md Razali Wan Ismail, kesemua aset juga dalam keadaan baik dengan kira-kira 500 anggota bersedia digerakkan setiap hari berikutan cuaca tidak menentu ketika ini.
"Kebanyakan air di tempat terjejas sudah surut dan sebahagian mangsa pulang ke rumah. Kita benarkan mereka pulang selepas memantau keadaaan di sana.
“Banjir berpunca akibat pertembungan hujan lebat dengan air pasang. Namun, keadaan terkawal," katanya ditemui pada program latih amal prainsiden di pusat beli-belah Aeon di sini, hari ini.
Setakat 5.30 pagi tadi, seramai 403 mangsa daripada 88 keluarga sekitar Taman Saujana Aman, Kuala Selangor dan Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh terjejas berikutan hujan lebat, petang semalam.
Dalam pada itu, Wan Md Razali memaklumkan pihaknya turut giat memantau empat lokasi berisiko terbakar iaitu Hutan Simpan Kuala Langat Utara dan Selatan, Raja Musa dan Johan Setia.
“Bomba turut memberi perhatian di kawasan Hulu Selangor dan Hulu Langat. Pemantauan kerap dilakukan supaya tindakan segara dapat diambil” katanya.